Skip to main content

Gopoh buka pekung orang lain hingga hilang barakah hidup

buka pekung orang lain

Beberapa hari lalu, satu lagi kisah rumah tangga tular di media sosial. Seperti biasa, ada tangkap layar mesej, rakaman suara, wajah individu terbabit, malah tempat kerja mereka turut dibongkar.

Sungguh menghairankan apabila perkara sebesar itu dikendalikan oleh orang awam, bukan pihak berautoriti.

Lebih menyedihkan, ramai pula menyambutnya dengan komen pedas, ejekan dan hukuman terbuka.

Semuanya atas nama keadilan dan pembelaan.

Tetapi, kita lupa satu prinsip besar dalam Islam: Keadilan tidak lahir dari penghinaan dan kebenaran tidak dibina di atas aib manusia.

Kita bukan hakim, kita bukan malaikat

Apabila berlaku kecurangan, kemarahan masyarakat memang wajar. Ia satu pengkhianatan yang menyakitkan. Ia meruntuhkan kepercayaan dan boleh memecah institusi keluarga.

Namun, yang jadi masalah ialah apabila perkara ini dibawa ke media sosial sebagai ‘mahkamah terbuka’. Tiada siasatan adil. Tiada pendengaran dua pihak. Hanya emosi dan populariti dijadikan pedoman.

Dalam disiplin fiqh, ulama menetapkan (Al-ḥukmu ‘ala al-syai’ far’un ‘an taṣawwurih) (Hukum terhadap sesuatu bergantung kepada gambaran yang tepat) – Imam al-Subki dalam Jam’ al-Jawami.

Jika kita hanya dengar dari sebelah pihak, lalu menjatuhkan hukuman, maka itu bukan keadilan. Itu kezaliman yang berselindung atas nama empati.

Spilled the tea dan budaya mengangkat aib

Ada yang berkata, “Aku hanya mahu dedahkan supaya orang lain tak jadi mangsa.” Ada pula yang kata, “Aku berhak cerita kerana aku yang dizalimi.” Maka kisah disebar, gambar dikongsi, rakaman dimuat naik lalu menjadi viral.

Fenomena ini dipanggil spilled the tea satu istilah barat yang menggambarkan keseronokan berkongsi cerita panas dan aib orang lain, kononnya atas nama kejujuran.

Ironinya, Islam sangat menekankan prinsip satr (menutup aib). Bukan kerana kita menyokong kesalahan, tetapi kerana kita menghormati maruah insan.

Imam Ibn Rajab al-Hanbali menulis dalam Jāmi’ al-‘Ulūm wa al-Ḥikam: “Menutup aib orang beriman termasuk dalam akhlak yang paling mulia. Siapa yang menutup aib saudaranya, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.”

Spilled the tea mungkin kelihatan bergaya dan jujur, tapi dalam timbangan syarak, ia adalah ghibah (mengumpat) secara kolektif dan terbuka yang menghilangkan barakah hidup.

Apabila dosa dijadikan bahan hiburan

Masalah besar budaya ini ialah apabila masyarakat mula menjadikan dosa sebagai hiburan. Ramai yang menonton kerana ingin tahu, tetapi akhirnya hanyut dalam gelak tawa, sindiran dan ketagihan membuka aib.

Kata Imam al-Ghazali dalam Iḥya’ ‘Ulum al-Dīn: “Jangan kamu merasa selamat daripada dosa hanya kerana kamu bukan pelaku utama. Cukup dengan kamu reda, ketawa atau menyebarkannya itu juga satu bentuk penyertaan dalam maksiat.”

Lalu, siapa lebih berdosa? Si pesalah atau ribuan tangan yang menyebarkannya?

Teguran tanpa mengaibkan

Suatu ketika, seorang lelaki datang kepada Imam Malik bin Anas, mengadu mengadu rakannya yang berbuat maksiat secara tersembunyi. Lelaki itu minta kebenaran supaya boleh menyebarkannya kepada orang lain.

Imam Malik menjawab: “Jika dia berdosa dengan Allah, maka biarlah antara dia dengan Allah. Jangan kamu menjadi syaitan yang membuka dosa, sedang kamu sendiri tidak selamat daripadanya.”

Begitu warak ulama. Mereka tidak gopoh menghukum, apatah lagi menyebarkan. Mereka lebih memilih taubat, nasihat dan diam, berbanding populariti dan drama.

Antara nasihat dan nafsu marah

Islam tidak melarang menegur. Islam tidak menyuruh berdiam diri terhadap kezaliman. Tetapi, semua itu perlu dengan hikmah, saluran betul dan niat yang bersih.

Jika benar ingin membela, gunakan saluran undang-undang. Jika benar mahu menasihati, buat secara tertutup. Jika benar ingin menegakkan syariat, mulakan dengan adab.

Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (Riwayat Muslim)

Dan sabda Baginda lagi: “Jangan kamu bergembira atas musibah saudaramu, kelak Allah mengujimu dengan perkara yang sama.” (Riwayat al-Tirmizi)

Kita semua dalam ujian

Hari ini kita melihat dan menghukum. Tapi, esok kita mungkin yang diuji. Tiada siapa yang selamat daripada khilaf. Bezanya cuma Allah menutup atau membuka.

Jangan kita menjadi masyarakat yang gopoh, kejam dan suka membuka pekung manusia. Sebaliknya, mari kita menjadi ummah yang menjaga lidah, jari dan hati.

Jika benar kita ingin menegakkan kebenaran, maka tegakkan juga adab dan ilmu.
Kerana kebenaran tanpa adab hanya kezaliman yang memakai jubah kejujuran.

Penulis Ketua Program Diploma Pengajian Islam, Kolej Uniti Kota Bharu, Kelantan

Leave a Reply