
Umum mengetahui bahawa masalah kesihatan mental semakin meningkat di seluruh dunia khususnya di kalangan awal remaja. Masalah kesihatan mental dikaitkan dengan tingkah laku bunuh diri di mana terdapat 1,142 kes dilaporkan pada tahun 2021 dan 631 kes dilaporkan pada tahun 2020. Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015 mendedahkan satu per tiga rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas berdepan masalah mental. Bagaimanakah cara untuk menjaga kesihatan mental?

Kesihatan mental adalah satu keadaan yang sejahtera di mana seseorang individu menyedari tentang keupayaan diri, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat. Ini bermakna individu yang mempunyai kesihatan mental berupaya untuk mengekspresikan emosi serta mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai tekanan dan tuntutan hidup.
Berikut merupakan tips untuk menjaga kesihatan mental:
Bijak Mengurus Masa
Menguruskan masa dengan bijak adalah kemahiran penting yang dapat meningkatkan produktiviti dan mengurangkan tekanan. Berikut merupakan kaedah pengurusan masa yang bijak dan tepat. Antaranya ialah membuat jadual harian, membuat senarai tugasan, menetapkan matlamat yang jelas di atas setiap tugasan dan tanggungjawab yang hendak dilaksanakan.

Selain daripada itu elakkan penangguhan dalam melaksanakan sesuatu tugasan, menggunakan alat pengurusan masa untuk mengingatkan tentang tugasan, belajar untuk berkata “tidak”, delegasi tugas, meluangkan masa untuk berehat dan mengurangkan gangguan.
Makan Makanan Yang Sihat
Amalan pemakanan yang sihat adalah penting untuk menjaga kesihatan tubuh dan mencegah pelbagai penyakit. Berikut adalah beberapa panduan untuk mengamalkan pemakanan yang sihat.

Antaranya ialah pengambilan pelbagai makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, makanan gantian daripada bijirin penuh, mengurangkan lemak tepu dan trans, mengurangkan gula tambahan, mengawal pengambilan garam dan gula, minum air yang secukupnya, pengambilan protein yang sihat, makan makanan dalam bahagian yang betul dan mengelakkan minuman bergula dan beralkohol.
Elakkan Pengambilan Rokok, Dadah Dan Alkohol

Mengelakkan pengambilan dadah, rokok, dan alkohol adalah penting untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental. Berikut adalah beberapa langkah dan strategi yang boleh antaranya seperti mendapatkan pendidikan dan kesedaran mengenai bahaya rokok, dadah dan alkohol, memilih rakan yang positif, mengamalkan aktiviti yang sihat dan produktif, mendapatkan sokongan daripada keluarga, rakan dan komuniti.
Sentiasa Berhubung dengan Keluarga dan Rakan-rakan
Menjaga hubungan yang baik dengan keluarga dan rakan-rakan adalah penting untuk kesejahteraan emosi dan mental. Berikut adalah beberapa cara untuk sentiasa berhubung dengan mereka seperti menetapkan masa yang berkualiti bersama-sama dengan ahli keluarga.

Pelbagai cara untuk berkomunikasi secara terbuka dalam komuniti grup seperti Group Whatsapp, serta penggunaan teknologi semasa yang lain untuk berhubung dengan khususnya mereka yang tinggal jauh. Sambutan hari istimewa dan melibatkan diri dalam aktiviti keluarga juga boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Melakukan Aktiviti yang Anda Sukai, Minat atau Bermanfaat
Melibatkan diri dalam aktiviti yang anda sukai, minati, atau yang memberikan manfaat boleh meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal. Berikut adalah beberapa langkah untuk mencari dan melibatkan diri dalam aktiviti tersebut. Antaranya ialah kenali minat anda, mencuba perkara baru, bertanya kepada rakan dan keluarga.
Aktiviti yang boleh dilakukan ialah bersenam, berkebun, melukis dan menulis, memasak, membakar, membaca, melancong, menyertai kelab, persatuan atau pertandingan.

Penyakit yang Berkaitan dengan Masalah Mental
Keresahan
Seseorang yang mengalami masalah ini sering merasa risau akan pelbagai masalah dan hal ini akan mengundang keresahan. Antara simptom lain yang akan dirasai oleh pesakit adalah seperti masalah tidur terganggu, otot tegang, senang marah dan juga lemah badan.
Masalah Emosi
Seseorang yang mengalami masalah mood boleh berada pada keadaan sedih mahupun mania. Mania merujuk kepada keadaan seseorang apabila seseorang sangat bertenaga dan gembira. Selain daripada mania, masalah mood sedih juga boleh dialami dan ia merupakan simptom yang amat lazim berlaku dan menyumbang kepada masalah depresi.
Penyakit Bipolar
Sakit ini merujuk kepada seseorang yang ada simptom mania dan juga sedih. Pesakit yang mengalami masalah ini sering mengalami mood yang berubah-ubah. Ketika mereka berada pada keadaan mania, mereka amat bertenaga, bercakap dengan laju dan petah, boros dan mempunyai banyak idea untuk diluahkan.
Masalah Tertekan atau Kemurungan
Dalam terma perubatan, masalah ini dikenali sebagai Major Depressive Disorder (MDD). Sakit ini saban hari meningkat dalam kalangan komuniti.
Setiap orang pastinya pernah mengalami masalah tertekan dalam hidup mereka atau kemurungan namun bagi pesakit MDD, keadaan tertekan atau murung ini berlarutan lebih 2 minggu dan tidak boleh untuk melakukan rutin harian dengan baik. Ini merupakan amaran atau petanda yang perlu untuk anda bertindak sekarang.
Skizofrenia
Masalah ini merupakan satu spektrum yang amat luas iaitu pesakit boleh mengalami halusinasi, berilusi dan juga merasakan sesuatu yang tidak wujud. Ia boleh untuk dikelaskan kepada simptom positif seperti delusi dan halusinasi. Bagi simptom negatif pula, ia termasuklah kurang motivasi dan mood yang tidak bersesuaian dengan persekitaran.
Anda Berminat Untuk Sambung Belajar Masalah Kesihatan Mental?
OLEH :
PUAN NURAZLINDA MOHD GHAZALI
KETUA PROGRAM DIPLOMA PSIKOLOGI
KOLEJ UNITI KOTA BHARU